Wednesday, May 05, 2010

KASIH IBU

Dari segumpal darah yang hina, lalu membentuk daging dan sedikit demi sedikit terhasillah jasad sebelum ditiup roh untuk menghidupkannya. Selama 9 bulan 10 hari mengusung perut ke hulur ke hilir, namun demi bayi yang dikandung, segala penat lelah sanggup diketepikan. Itulah tanggungjawab yang amat berat untuk digalas oleh seorang wanita bergelar ibu, emak, mama, mummy, umi, bonda atau apa sahaja yang membawa maksud yang sama. Tak terucap dek kata-kata sebenarnya untuk mengenang pengorbanan seorang ibu. Dari mengandung, melahirkan dan membesarkan anak-anak, segala pengorbanan itu tidak akan mampu dinilai dengan wang ringgit. Kasih ibu sememangnya membawa ke syurga..

Setiap detik dan ketika, letakkan ibu kita di fikiran dan hati. Rasulullah SAW pernah bersabda, "Redha Allah bergantung pada redha kedua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa" (Hadis : Al Hakimi). Sedari kecil, kita dididik, diasuh dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Jika kita sakit, ibulah yang paling susah hati. Dia akan menjaga kita tanpa erti jemu, apatah lagi mengeluh. Biar pun penat atau mungkin tertekan, tetapi demi anak yang dikasihi, segalanya ditolak tepi. Apabila kita gembira, ibu tersenyum riang. Jika kita melakar kejayaan, ibu menangis.. tetapi kerana terlalu gembira dan bangga. Walaupun tidak diucapkan dalam bicara, namun jauh disudut hatinya, dia pasti berbangga dengan kejayaan anaknya itu. Jadi, berusahalah agar kita dapat menggembirakan dan menyenangkan hati ibu.

Ibu.. orang yang paling cukup dekat di hati. Patut ditempatkan di ruang yang cukup istimewa di dalam hati selepas Allah SWT. Ke mana saja kaki melangkah, jangan sesekali melupakan dirinya. Waima jika dia sudah tiada di dalam dunia fana ini, wajar untuk terus diingati, dikenangi dan dirindui. Jika ibu kamu masih ada, buktikan bahawa kamulah anak yang mampu membuatkan dirinya gembira dan berbangga. Giliran kamu untuk berjasa padanya pula. Biar pun mungkin tidak sehebat pengorbanan yang pernah dia lakukan, pastikan kamu menjaganya sebaik mungkin. Ingat...ibu kandung hanya ada satu-satunya dalam hidup anda. Sedangkan hilang kekasih, boleh dicari pengganti. Tetapi jika hilang ibu...selamanya pergi.

Sentiasa ingatlah pepatah ini, " Syurga di bawah tapak kaki ibu". Sampaikan pesanan ini kepada ibu kamu semua. "Selamat hari ibu! Sayang selamanya.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

KOMEN PELAWAT

Daisypath Anniversary tickers ads
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...